KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui Thailand mempunyai kelebihan dalam aksi regu berpasukan di Piala Asia 2025 apabila sebahagian besar pemain mereka sudah cukup masak dengan corak permainan Malaysia.
Menurutnya, kebanyakan pemain utama Thailand pernah beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) sekali gus memberi ruang kepada mereka memahami rentak serta strategi barisan negara lebih awal.
“Pemain Thailand yang dibawa ke Piala Asia ramai yang pernah bermain dalam STL. Killer berbahaya Thailand, Sutthikiart Panseankaew contohnya pernah beraksi untuk Terengganu.
“Jakkrit Thinbangbon (tekong) bersama Perak Bison. Ada juga killer simpanan mereka bermain dengan PDRM, selain feeder acara double yang pernah mewakili Kuala Lumpur.
“Itu cara mereka menyerap tekanan dan mempelajari corak permainan kita secara dekat. Ia memberi kelebihan besar kepada Thailand kerana mereka sudah tahu corak pemain kita.
“Jadi pemain negara tidak boleh leka. Kita perlu gandakan usaha, kemaskan taktikal dan pastikan tidak terlalu mudah dibaca pihak lawan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahmad Jais berkata, skuad negara sudah mula menilai 15 pemain dalam senarai panjang dan mengurangkannya kepada 12 terbaik untuk menghadapi acara itu nanti.
“Persiapan berjalan lancar dan kita harap pemain yang dipilih mampu beri yang terbaik khususnya acara berpasukan.
“Kita tahu Thailand akan datang bukan sekadar pertahan kejuaraan, malah mahu sapu bersih semua acara. Jadi, kita perlu tampil lebih bersedia,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun, manakala Thailand boleh menarik nafas lega apabila berdepan saingan lebih mudah di Kumpulan A bersama China, India serta Singapura.
Sebagai rekod, Malaysia meraih gelaran pertama di Piala Asia 2025 dalam acara kuadran selepas menewaskan Jepun 2-0 sebelum tumpas 1-2 kepada Thailand di final acara double.