PETALING JAYA – Baru tiga bulan melayari bahtera rumah tangga, pelakon Siti Saleha tidak tertekan memikirkan soal zuriat selain sedia hamil pada bila-bila masa.
Menurut Saleha atau lebih mesra disapa sebagai Sally ini, dia dan suami, Joshua Fitton, 38, tidak pernah merancang bila mahu mendapatkan zuriat kerana semua itu adalah aturan Ilahi.
“Kami memang mahukan anak. Jika Allah beri rezeki, kami tak kisah bila-bila masa pun. Suami pun pernah cakap dia mahukan anak. Saya beritahu padanya semuanya bergantung kepada rezeki Allah.
“Saya pun tak pernah terfikir untuk merancang kerana umur saya pun sudah 35 tahun ini. Doakan saya dan suami agar dikurniakan cahaya mata,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Dia Imamku, di sini, semalam.
Tambah adik kepada Sam Bunkface itu lagi, buat masa sekarang dia belum rasa terbeban dengan soalan berkaitan anak.
“Saya pun baru tiga bulan berkahwin. Kami pun masih dalam fasa honeymoon (bulan madu). Kalau ada yang bertanya soal anak saya faham dan tak terasa hati. Tiada gunanya nak rasa tertekan,” ujarnya.
Ditanya bagaimana kehidupannya sekarang selepas kembali bergelar isteri sejak tiga bulan lalu, kata Sally, hari-harinya dilalui dengan penuh rasa bahagia.
“Saya rasa sangat seronok. Kami pun asyik honeymoon sahaja. Biarpun baru tiga bulan tetapi saya rasa macam dah lama berkahwin. Mungkin kerana kami sudah lama bersama,” kongsinya.
Sally berkahwin dengan Joshua Fitton yang merupakan seorang pereka fesyen pada 15 Februari lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Janda Baik, Pahang. – KOSMO! ONLINE