PETALING JAYA – Meskipun masih berduka dengan pemergian bayi dalam kandungan, pelawak Shuib bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran anak itu walaupun ‘dipinjamkan’ Ilahi dalam waktu singkat.
Shuib atau nama asalnya Shahmira Muhamad, 41, turut menganggap kehadiran anaknya itu sebagai kenangan berharga buat keluarganya.
“Simpan sini buat kenangan yang dia (bayi) pernah hadir dalam keluarga kami. Namanya Bintang, ‘anak Mekah’.
“Terima kasih di atas kehadiran walaupun hanya sekejap.
“Cukup bermakna dan indah buat kami sekeluarga lebih-lebih lagi mummy (panggilan isteri),” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Shuib turut memuat naik video sewaktu mendapat khabar gembira bakal menimang cahaya mata bersama anak-anaknya yang dipercayai semasa menunaikan umrah April lalu.
Selain itu, bapa kepada empat orang anak itu turut memberikan kata-kata semangat buat isterinya, Watie Hanifiah dalam menjalani ujian tersebut.
“Insya-Allah semoga jumpa di syurga. Daddy (panggilan Shuib) dan anak-anak sayang mummy.
“Awak sudah buat yang terbaik, susunan Allah lebih mengetahui.
“Semoga kita semua dikurniakan rahmat dan berkat dunia dan akhirat,” tuturnya.
Semalam, Watie mengumumkan dirinya keguguran minggu lalu selain memaklumkan pernah mendapat petanda daripada mimpi akan keguguran sebelum perkara itu menjadi kenyataan.
Untuk rekod, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri pada 23 Jun 2023.
Shuib sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan arwah penyanyi Siti Sarah Raissuddin. – KOSMO! ONLINE