fbpx

Seorang lagi anggota FRU dibenar keluar hospital, 4 masih kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRAK FRU yang terlibat kemalangan di Teluk Intan semalam dialihkan untuk kerja-kerja siasatan. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Seorang lagi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan kelmarin dibenarkan keluar hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, dibenarkan berbuat demikian semalam selepas menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Katanya, Muhammad Aniq merupakan anggota kedua yang dibenarkan keluar hospital selepas Koperal Nizam Tarmizi, 38, kelmarin.

“Setakat ini, tiga anggota masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Teluk Intan. Mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Tiga anggota tersebut ialah Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39.

Noor Hisam berkata, Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, yang dirawat di hospital sama dalam keadaan stabil, manakala Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34, dan Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, telah sedar.

“Koperal Syed Isfan Syed Syed Mohammad, 39, yang dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pula masih belum sedarkan diri.

“Pihak hospital masih menunggu pesakit stabil bagi menjalani pembedahan tulang pinggul,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI