KUALA LUMPUR – Impian skuad sepak takraw negara untuk menambah koleksi kejuaraan di pentas antarabangsa akhirnya menjadi kenyataan apabila menundukkan musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam aksi final acara regu Piala Asia Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Trio negara yang diketuai Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan), sekali lagi membuktikan kekuatan gandingan mereka apabila membenam Thailand 15-13, 15-9.
Pada perlawanan tersebut, Syahir mempamerkan ketenangan luar biasa dalam set kedua apabila beberapa kali mencipta mata menerusi servis yang gagal dikembalikan skuad Gajah Perang yang dibarisi trio emas mereka, daripada Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan) selain turut menurunkan Jakkrit Thinbangbon (tekong) dan Sutthikiart Panseankaew (perejam).
Semangat juang tinggi dan disiplin taktikal yang ditampilkan pemain negara berjaya mengekang asakan Thailand sekali gus menafikan impian mereka untuk mengungguli kejohanan edisi kali ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan anak-anak buah Ahmad Mohd Zin mengulangi skrip kejayaan sama ketika menewaskan Thailand pada pentas final Piala Dunia Kuala Lumpur 2024.

Setakat ini, Malaysia telah merangkul gelaran dalam acara kuadran, namun terpaksa akur bergelar naib juara dalam kategori double selepas tewas kepada Thailand di peringkat akhir di venue sama.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar sepak takraw Asia, malah memberi motivasi terbaik buat skuad negara menjelang kejohanan-kejohanan utama tahun ini termasuk Piala Raja Thai (Jun) Sukan SEA Thailand (Disember). -KOSMO! ONLINE
HABIS