MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin disahkan tidak menghadiri rundingan gencatan senjata dengan seterunya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky yang berlangsung di Istanbul, Turkiye hari ini, lapor akhbar The Guardian.
Dalam satu kenyataan lewat semalam, Kremlin berkata, delegasi Moscow sebaliknya akan diketuai Vladimir Medinsky. Beliau merupakan penasihat Putin dan pernah mengetuai satu-satunya rundingan langsung antara Russia serta Ukraine pada 2022.
Tidak lama selepas pengumuman Kremlin, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) pula berkata, Presiden Donald Trump juga tidak akan hadir. Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan pergi ke Turkiye hanya sekiranya Putin hadir.
Di Istanbul, Medinsky disertai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin, Timbalan Menteri Luar, Mikhail Galuzin dan ketua agensi perisikan tentera Russia, Igor Kostyukov.
Tekanan dikenakan terhadap Putin supaya menghadiri rundingan itu sejak Zelensky dan Trump mendesak beliau pergi ke Istanbul bagi membincangkan perjanjian damai menamatkan perang Russia-Ukraine.
Zelensky mencabar Putin menghadiri pertemuan empat mata di Turkiye selepas pemimpin Russia itu terlebih dahulu mencadangkan rundingan langsung Russia-Ukraine berlangsung di Istanbul.
Masih banyak yang tidak jelas mengenai rundingan tersebut yang diadakan ketika peningkatan retorik dan sikap strategik oleh kedua-dua Moscow dan Kyiv.
Zelenskyy dalam perjalanan ke Ankara pada petang semalam, di mana beliau dijadualkan bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Pemimpin Ukraine itu berkata, beliau bersedia berlepas segera ke Istanbul sekiranya Putin turut hadir.
“Jika Putin tidak hadir dan sekadar bercakap, ia adalah titik terakhir bahawa beliau tidak mahu menamatkan perang,” katanya kelmarin. – AGENSI