GEORGE TOWN – Penjenayah lelaki yang ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah polis dalam kejadian di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas, awal pagi tadi dilaporkan memiliki 34 rekod jenayah dan dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang memandu sebuah kereta BMW bertindak agresif selepas pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) memperkenalkan diri semasa menjalankan operasi cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, suspek secara tiba-tiba keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis yang kemudian membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mengesahkan suspek maut di tempat kejadian dan turut menemui sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, selain pelbagai senjata dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek tahun mempunyai 19 kesalahan lampau jenayah dan 15 kesalahan lampau narkotik,” katanya di sini hari ini.
Hamzah berkata, antara barangan yang turut ditemui adalah satu batang besi, dua batang kayu rotan, dua bilah parang, satu alat dipercayai ‘jammer signal’, pelbagai jenis pakaian, dan peralatan pecah rumah.
“Turut dijumpai 15 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat lebih kurang 22.5 gram,” katanya.
Beritahu Hamzah, susulan kejadian itu, lapan individu lain terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita turut ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah bersama suspek.
“Empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang rekod lampau.
“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 25 kes samun, pecah rumah dan pecah dobi di sekitar Kontinjen Pulau Pinang, melibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM500,000,” jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah di negeri ini mati dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis di Lintang Bukit Jambul di sini, awal pagi tadi. -KOSMO! ONLINE