IPOH – “Dia berulang kali menyalahkan dirinya, dia rasa bertanggungjawab sebab dia yang memandu.”
Luahan kesal Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, itu diceritakan isterinya selepas anggota polis tersebut mengetahui sembilan rakannya maut dalam kemalangan tragis di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.54 pagi itu, trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkata, suaminya yang sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan baru sahaja sedar semalam.
Mohd. Harrisul dikatakan terdiam selepas mengetahui rakan-rakannya terkorban. Lelaki itu berasa bertanggungjawab kerana dia yang memandu trak tersebut semasa kejadian.
“Baru semalam suami mendapat tahu rakan-rakannya telah ‘tiada’. Bila tahu, dia terdiam sekejap. Dia rasa bersalah dan ralat, tetapi saya pesan jangan rasa bersalah.
“Dia buat panggilan video kepada Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga berjumpa dengan Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) untuk buat perkara sama (minta maaf),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nor Ain, rakan-rakan sekerja suaminya bagaimanapun memberi sokongan penuh kepada lelaki itu dan menitipkan pesanan agar tidak membebankan diri dengan rasa bersalah.
“Ramai rakan-rakan yang menghubungi suami dan memberikan sokongan. Mereka tidak menyalahkan dia dan memahami situasi yang sebenar,” katanya.
Kosmo! Online pada Selasa lalu melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 terkorban selepas kenderaan pasukan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam pada pukul 8.45 pagi.
Kejadian menyayat hati itu mengulangi insiden yang mengorbankan seramai 11 anggota FRU dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990.
Ketika kejadian kesemua mangsa dari Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur dalam perjalanan menjalani latihan di Terengganu sebelum trak FRU yang mereka naiki dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE