PEREJAM sensasi negara, Noraizat Mohd. Nordin berhasrat untuk terus menyarung jersi skuad regu berpasukan bagi menebus kekecewaan tewas tipis 1-2 kepada Thailand dalam aksi final double Piala Asia 2025 pada Isnin lalu.
Meskipun berbangga mara ke pentas akhir, Noraizat masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi yang dipamerkan dalam perlawanan tersebut.
“Walaupun tewas kita berjaya sampai ke final. Saya rasa puas hati tapi tidak 100 peratus.
“Antara punca kekalahan mungkin dari segi pukulan saya dan saya tidak gembira dengan servis yang dilakukan, jadi dari situ timbul sedikit rasa kecewa,” katanya.
Noraizat juga berazam untuk bangkit dan tampil lebih baik sekiranya sekali lagi diberikan kepercayaan oleh barisan kejurulatihan dalam saingan regu berpasukan yang bermula esok.
“Untuk perlawanan akan datang, saya mahu bangkit dengan pasukan. Kalau terpilih lagi bermain regu berpasukan, saya akan cuba yang terbaik, terserah kepada jurulatih untuk membuat pilihan,” ujarnya.
Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Noraizat menjelaskan bahawa kecederaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk gagal memberi aksi terbaik di gelanggang.
“Walaupun sakit, kita tetap kena berusaha. Macam mana pun kita perlu usaha untuk mendapatkan kemenangan. Kalau rasa sakit, tolak tepi dan main dulu,” katanya.
Untuk rekod, ketika Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur, Noraizat pernah diturunkan dalam skuad regu berpasukan bersama Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Haziq Hairul Nizam selaku tekong.
Berdasarkan prestasi semasa konsisten dan semangat juang tinggi, Noraizat berharap diberi peluang semula untuk membantu Malaysia mencipta kejayaan dalam kempen seterusnya seperti Piala Raja Thai mahupun Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.