ROM – Pengendali AC Milan, Sergio Conceicao enggan mengulas mengenai masa depannya selepas musim penuh kehampaan terus berpanjangan apabila mereka tewas mengejut 0-1 kepada Bologna dalam final Piala Itali di Stadio Olimpico awal pagi tadi.
Gol tunggal daripada Dan Ndoye sudah cukup untuk menamatkan kemarau 51 tahun kejuaraan buat Bologna sejak 1974, sekali gus menyempurnakan musim suram buat Milan yang kini di tangga kelapan Serie A.
Conceicao yang menandatangani kontrak hingga 2025, terus dikaitkan dengan potensi perpisahan awal selepas gagal mengubah nasib pasukan sejak mengambil alih tempat Paulo Fonseca pada Disember lalu.
Meskipun memulakan kempen dengan menjulang Piala Super Itali, kempen Milan mula terumbang-ambing dengan rentetan keputusan buruk dan bantahan penyokong terhadap pemilik kelab dari Amerika Syarikat, RedBird.
“Saya bukan baru sehari dua dalam bola sepak. Sekarang saya sedang fikir apa yang kami buat malam ini, apa yang menjadi, apa yang tak jadi. Kita akan habiskan musim dengan maruah. Soal masa depan? Nanti dulu,” kata Conceicao.
Milan kini tiga mata di belakang Roma yang mengisi slot kelayakan Liga Konferens Europa dan berdepan AS Roma pada Ahad ini sebelum mengakhiri musim menentang Monza yang sudah tersingkir ke Serie B.
Kekalahan di pentas final bermakna Milan sudah kehilangan satu laluan ke kejohanan Eropah musim depan.
“Terus terang ini musim yang mengecewakan. Kami tahu pasukan ada banyak potensi tapi kami tak berjaya terjemahkan di atas padang. Kami perlu masa untuk hadam kekalahan ini,” kata pertahanan Milan, Matteo Gabbia. – AGENSI