fbpx

MATTA Fair Pulau Pinang 2025 sasar jualan RM78 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nigel (dua dari kiri) pada sidang akhbar mengenai penganjuran MATTA Fair Pulau Pinang 2025 di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang menyasarkan jualan pakej pelancongan berjumlah RM78 juta pada MATTA Fair Pulau Pinang yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini pada 24 dan 25 Mei ini.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, sebanyak 270 ruang pameran yang mempromosikan pelbagai produk pelancongan dari dalam dan luar Pulau Pinang bersedia untuk menemui pelanggan yang mencari pakej pelancongan idaman masing-masing.

“Pada tahun ini kami menyasarkan jualan sehingga RM78 juta dengan jumlah pengunjung dijangka sekitar 45,000.

“Kami yakin jumlah ini adalah realistik untuk dicapai memandangkan tahun lalu jumlah jualan yang berjaya dicapai ialah RM35 juta dengan pengunjung sekitar 40,000 orang,” katanya dalam sidang akhbar Matta Fair Penang 2025, di sini hari ini.

Menurut Nigel, buat pertama kali dalam sejarah MATTA Fair Pulau Pinang, seksyen bahagian domestik akan diperkenalkan khusus untuk menonjolkan pelbagai pakej dan produk pelancongan Malaysia.

“Bahagian baharu ini akan menonjolkan pengalaman daripada pengembaraan eko di Sarawak kepada perjalanan kulinari di Johor, percutian keluarga di Terengganu dan denai warisan di Pulau Pinang.

“Inisiatif ini menekankan komitmen MATTA untuk mempromosi pelancongan tempatan dan menggalakkan penerokaan destinasi yang kurang dikenali di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sebagai rakan strategik kepada kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang akan datang, MATTA terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat pelancongan Malaysia.

Dalam pada itu, Hong Wai berkata, penaja Platinum MATTA iaitu RHB meletakkan MATTA Fair Pulau Pinang sebagai acara kedua terpenting selepas edisi utama di MITEC Kuala Lumpur, sekali gus mengiktiraf Pulau Pinang sebagai hab pelancongan yang semakin berkembang.

“Malaysia Aviation Group (MAG) yang merangkumi Malaysia Airlines, Firefly dan Amal pula akan terus memainkan peranan penting dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk kedua utama negara.

“MATTA Fair Pulau Pinang 2025 bukan sekadar pameran pelancongan malah ia adalah perayaan pengalaman, tempat di mana impian bermula dan destinasi ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI