MILAN – Gergasi Itali, AC Milan enggan melepaskan bintangnya, Tijjani Reijnders meninggalkan San Siro tanpa menerima harga yang memecahkan rekod perpindahan kelab.
Legenda Brazil, Kaka masih kekal memegang rekod penjualan termahal Milan dengan harga £57 juta (RM325.63 juta) kepada Real Madrid pada 2009.
Justeru, Milan sedia mempertimbangkan penjualan Reijnders sekiranya menerima harga lumayan daripada Manchester City yang dikatakan terdesak untuk mengikat khidmat arkitek tengah Belanda itu.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu merasakan pemain berusia 26 tahun itu adalah jawapan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Kevin De Bruyne musim depan, sekali gus kembali mencabar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Milan menilai Reijnders lebih mahal daripada jumlah £55 juta (RM314.20 juta) yang diterima ketika melepaskan aset berharga, Sandro Tonali kepada Newcastle United pada 2023.
“Reijnders sentiasa ada di kesebelasan utama dalam tempoh dua tahun sejak tiba di Milan daripada AZ Alkmaar. Dia adalah aset cukup penting buat Milan terutamanya musim ini,” kata sumber dalaman kelab berkenaan.
Selain Reijnders, City turut menyenaraikan beberapa alternatif lain seperti Florian Wirtz (Bayer Leverkusen) dan Morgan Gibbs-White (Nottingham Forest).
Segala urusan perpindahan akan dilakukan City selepas tamat final Piala FA menentang Crystal Palace di Stadium Wembley pada Sabtu ini yang merupakan satu-satunya peluang untuk mereka memenangi trofi musim ini. – AGENSI