KUALA LANGAT – Perbuatan lima lelaki disyaki menyeleweng ratusan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi mengundang padah apabila mereka dicekup pihak berkuasa, semalam.
Penahanan empat warga asing dan seorang warga tempatan itu membawa rampasan bernilai RM100,000 termasuk dua buah lori yang digunakan bagi kegiatan haram tersebut.
Perkara itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi Ops Gasak 2025 yang menerima kes berkenaan, kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Hanizam Kechek berkata, pihaknya menerusi Pejabat KPDN Cawangan Sepang menerima kes serahan itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan iaitu gas memasak.
Jelasnya, ia melibatkan pemeriksaan lanjut ke atas dua lori masing -masing berkapasiti satu dan tiga tan selain tong silinder berisi LPG.
“Sitaan meliputi sebanyak 103 tong gas yang dipercayai berisi dan kosong dengan nilai berat tidak lebih 1,300 kilogram (kg). Seramai lima individu ditahan termasuk terdiri empat warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Hanizam, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bagi mengesan, membeku, menyita dan perlucutan hak.
Tambah beliau, pihaknya merekodkan rampasan kes ketirisan barang kawalan termasuk LPG bersubsidi mencecah RM2.9 juta sepanjang tempoh sejak Januari tahun ini.
“Sebanyak 15 kes disiasat mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual bersubsidi bahan api tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan. Sitaan keseluruhan LPG adalah berjumlah 5,008 kg dengan nilai sitaan RM112,492,” katanya.- KOSMO! ONLINE