KOTA BHARU – Lembu-lembu yang diseludup dari Thailand ke negara ini berisiko menjadi pembawa kepada jangkitan anthrax sekali gus menyebabkan jangkitan dan kematian kepada manusia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kebimbangan itu berasas selepas Thailand ketika ini merekodkan satu kes kematian akibat jangkitan anthrax pada 1 Mei lalu.
Menurutnya, lembu-lembu seludup itu berisiko terkena jangkitan apabila haiwan tersebut tidak menjalani proses kuarantin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Apabila lembu-lembu itu masuk secara haram, tiada sebarang proses kuarantin dilakukan oleh JPV dan Maqis.
“Jadi, lembu-lembu itu tidak diperiksa. Keadaan itu membuatkan kita bimbang sama ada haiwan tersebit mempunyai penyakit atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya menjangkakan kegiatan penyeludupan lembu untuk tujuan ibadah korban akan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada bulan depan.
Menurutnya, selain itu, harga lembu seludup yang murah menyebabkan permintaan terhadap haiwan tersebut tinggi.
“Situasi itu menyebabkan orang ramai sanggup mengambil risko memilih untuk membeli lembu seludup pada harga yang jauh lebih murah berbanding faktor keselamatan.
“Penyeludupan haiwan secara tidak sah bukan sahaja boleh menyebarkan penyakit kepada haiwan ternakan tempatan, malah ia turut berisiko kepada manusia,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Malaysia disahkan kekal bebas daripada penyakit anthrax walaupun Thailand ketika ini dilaporkan mempunyai satu kes kematian manusia akibat jangkitan penyakit itu pada 1 Mei lalu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, kematian dilaporkan di Thailand itu berpunca daripada penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, Thailand.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff berkata, hampir 20 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli dikenal pasti menjadi lokasi penyeludupan lembu.
Katanya, sebanyak 390 ekor lembu dan 25 kerbau seludup dirampas oleh pihak berkuasa sempadan seperti Pasukan Gerakan Am, Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa agensi lain sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE