KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu mangsa Wan Izani Wan Samsudin,29 yang berasal dari Kelantan dan bekerja di sebuah restoran di Balok di sini datang bersama dua rakannya ke kawasan itu untuk berkelah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, semasa kejadian mangsa dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama dua rakannya.
“Mangsa dihanyutkan arus deras sewaktu mandi dan cuba diselamatkan rakan mangsa tetapi tidak berjaya.
“Susulan itu pasukan bomba melakukan kerja-kerja mencari mangsa dengan kaedah pencarian permukaan dan mangsa belum dijumpai,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya operasi pencarian yang dimulakan pada pukul 6.36 petang semalam disambung semula hari ini.- KOSMO! ONLINE