PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap dipercayai melibatkan poster promosi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu.
MCMC dalam kenyataannya berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak MCMC. Sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan lanjut.
“Kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya hari ini.
MCMC menjelaskan, Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan, oleh itu penggunaan ilustrasi yang tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
Sehubungan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
Katanya, amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta secara teliti adalah penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk bertindak tegas terhadap pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.
Sebelum ini, Pas Terengganu mengeluarkan poster promosi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini di Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Poster itu memaparkan Jalur Gemilang di bahagian kiri, logo Pas di tengah, manakala bendera Terengganu di bahagian kanan.
Bagaimanapun, poster tersebut mendapat kecaman netizen apabila Jalur Gemilang digunakan mempunyai 11 bucu bintang kuning serta 12 jalur merah putih berselang-seli. – KOSMO! ONLINE