PETALING JAYA – “Kerja tanpa henti bukan tanda rajin. Ia tanda keletihan yang sedang dikumpul dalam diam.”
Itu antara perkongsian Public Health Malaysia (PHM) mengenai keadaan segelintir masyarakat yang dirundung rasa bersalah jika mengambil masa untuk berehat, kerana bimbang dikatakan pemalas.
“Takut nampak tak produktif. Tapi hakikatnya, badan manusia bukan mesin. Rehat itu bukan pilihan, ia satu keperluan,” kata PHM di Facebook.
Tambah PHM, dengan meluangkan masa untuk berehat, ia menjadikan badan dan manusia lebih berkeadaan baik untuk terus bertugas.
“Apabila kita ambil masa berhenti sekejap untuk tarik nafas, senyum, pandang langit, regangkan badan sebenarnya kita sedang mengisi semula tenaga, memperbaiki fokus, dan menjaga kesihatan mental.
“Rehat bukan bermaksud kita tak buat kerja. Ia bermaksud kita bersedia untuk buat kerja dengan lebih baik,” tambah PHM. – KOSMO! ONLINE