PUTRAJAYA – Beberapa kejayaan dikecapi negeri Sabah menerusi pelaksanaan Kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk refleksi kepada kekuatan kepimpinan yang dimiliki kerajaan negeri ketika ini.
Dalam konteks ini, Kerangka SMJ yang dilaksanakan bermula 2021 hingga 2025 untuk pembangunan negeri dilihat sudah ‘membuahkan hasil’, seterusnya memberi gambaran kepada kejayaan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, selain pelaksanaan tersusun, kekuatan kepimpinan turut membantu kejayaan agenda SMJ.
“Pelaksanaan tersusun, penyelarasan antara entiti dalam kalangan kementerian dan agensi serta keupayaan menarik pelaburan, semuanya memerlukan kepimpinan yang kuat dan berwawasan.

“Oleh itu, setiap pencapaian SMJ seperti peningkatan keyakinan pelabur atau kemajuan kerjasama dalam sektor tertentu boleh dianggap sebagai bukti keberkesanan dan kredibiliti kepimpinan kerajaan negeri yang bertanggungjawab melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Untuk makluman, Hala Tuju SMJ merangkumi beberapa elemen utama iaitu tumpuan kepada sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, modal insan dan kesejahteraan rakyat selain jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Kerangka itu dilihat berjaya meletakkan ekonomi Sabah di landasan tepat apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023 dengan unjuran RM84.9 bilion bagi 2024.
Jika diimbas kembali, KDNK Sabah pada tahun 2020 hanya merekodkan RM77.8 bilion yang mana ketika ini Covid-19 sedang melanda negara sebelum mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus dengan nilai RM78.7 bilion pada 2021.

Sebagai seorang pemerhati kepada agenda SMJ, Dr. Syahruddin berkata, aspirasi itu telah menunjukkan beberapa kejayaan yang ketara sejak ia mula diperkenalkan pada 2021.
“Pertama, ia berjaya menyatukan agenda pembangunan negeri di bawah satu visi yang jelas yang mana sebelum ini mungkin agak ‘fragmented’ atau terpecah.
“Ini penting untuk memastikan sumber dan usaha oleh agensi dan jentera pentadbiran kerajaan negeri disalurkan secara lebih cekap dan berfokus,” katanya.
Kedua, kejayaan itu diterjemahkan apabila ada peningkatan dalam pelaburan masuk ke Sabah, baik domestik mahupun asing khususnya dalam sektor tumpuan kerajaan seperti pertanian berorientasikan teknologi, pelancongan dan perindustrian.
Ketiga, inisiatif di bawah SMJ juga dilihat cenderung bagi menangani isu-isu asas yang berbangkit sejak dahulu seperti kemiskinan dan akses kepada kemudahan asas.
Susulan itu, kata beliau, antara elemen disifatkan paling berjaya dalam Kerangka SMJ ialah usaha kerajaan memberikan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
“Ini dapat dilihat apabila fokus SMJ itu sendiri memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan peningkatan kemahiran serta usaha memperkasa ekonomi luar bandar melalui pertanian moden.
“Apabila kita bercakap tentang kesejahteraan, ia bukan hanya tentang pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga bagaimana peluang dan manfaat ekonomi itu diagihkan kepada setiap individu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakan kejayaan SMJ akan meningkatkan keyakinan rakyat khsususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Dr. Syahruddin berkata, ia berpotensi besar menjadi ‘talian hayat’ atau modal politik menjelang pemilihan itu.
“Ini kerana, apabila rakyat melihat impak positif daripada program bawah SMJ seperti peluang pekerjaan baharu dan peningkatan pendapatan, ia boleh diterjemahkan kepada sokongan padu kepada kerajaan.
“Kejayaan boleh diukur dan dirasai secara langsung oleh rakyat akan menjadi hujah kuat bagi pimpinan dalam status quo untuk meneruskan mandat.
“Namun, perlu diingat bahawa persepsi rakyat juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain
termasuk isu bersifat kepentingan tempatan, bakat kepimpinan individu dan komunikasi politik yang berkesan,” katanya.
Pun begitu, kejayaan SMJ adalah aset dan perlu disokong dengan naratif jelas bagi meyakinkan pengundi bahawa kesinambungan tugas membangunkan negeri adalah pilihan terbaik untuk kesejahteraan dan kualiti kehidupan mereka. -KOSMO! ONLINE