PETALING JAYA – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting golongan muda dalam pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan belia hari ini semakin matang, berilmu dan berfikiran tinggi dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks serta mencabar.
“Atas kesedaran inilah, kerajaan terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi meluaskan peluang pembangunan belia, termasuk dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), keusahawanan, ekonomi hijau, dan ekonomi digital.
“(Ini) agar anak muda kita bukan sahaja mampu bersaing, tetapi turut bersedia memimpin perubahan masa hadapan,” katanya dalam hantaran di Faceboom hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaburan terhadap pembangunan belia adalah langkah penting ke arah membina masa depan negara yang lebih gemilang.
“Saya yakin bahawa belia hari ini adalah pencorak masa depan. Teruslah melangkah dengan yakin dan menyumbang dengan penuh semangat kerana masa depan negara ini amat bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan kalian,” ujarnya.
Sambutan HBN yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun disemarakkan dengan pelbagai pengisian bermakna di seluruh negara, dengan tema ‘Yakin Boleh’ tahun ini dipilih bagi menyuntik semangat dan keyakinan dalam kalangan generasi muda. – KOSMO! ONLINE