PENJAGA gol No. 1 negara, Ahmad Syihan Hazmi disarankan untuk kekal bersaing secara sihat dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun terdapat spekulasi bakal dipinjamkan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Sebagai rekod, Syihan dianggap salah seorang tunjang utama yang membantu Harimau Selatan mengekalkan status quadruple dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Namun, khidmat Syihan dilihat tidak digunakan di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tugas menjaga gawang diberikan kepada penjaga gol import dari Sepanyol, Andoni Zubiaurre.
Bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Abdul Kadir percaya cabaran musim depan buat Syihan adalah mengekalkan status selaku penjaga gol No. 1 buat kelab dan negara.
“Prestasi Syihan tiada masalah dan agak konsisten. Kita tahu minit permainan dia kurang di peringkat Asia kerana ada penjaga gol import.
“Sebagai bekas penjaga gol, kalau kita tidak dapat bermain, pasti psikologi dan mentaliti sedikit merudum tetapi saya percaya Syihan mampu menangani masalah tersebut.
“Kalau boleh dia kekal bersama JDT kerana mereka memiliki fasiliti terbaik.
“Jika berhijrah secara pinjaman ke kelab lain, mungkin fokus diberikan kepada dia seorang sahaja dan dapat meraih minit permainan sepenuhnya tetapi itu tidak bagus untuk perkembangan kariernya,” katanya.
Syihan yang berusia 29 tahun telah menyarung jersi bersama Harimau Selatan sejak 2023 dan berjaya meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik musim ini.