PETALING JAYA – Bersempena ulang tahun kelahiran anak yang ketujuh, pelawak Achey mengakui puterinya, Tiara banyak membawa rahmat dalam kehidupannya sekeluarga.
Berkongsi coretan penuh emosi, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 39, sering mempersoalkan sama ada dirinya layak menjadi bapa kepada anaknya itu.
“Wahai Tiara yang disayangi ramai dan ada juga yang mengatakan ayah menumpang anugerah aura kamu.
“Ayah tidak malu untuk mengatakan benar, kerana jawapan yang sebaliknya akan membuatkan orang ramai tidak selesa.
“Dalam tak sedar jatuh air mata ayah. Kadang ayah terfikir, layak ke menjadi seorang ayah kepada anak yang hebat ini,” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam masa sama, Achey turut mendoakan si kecil itu mampu harungi segala cabaran dalam kehidupan.
“Harapan ayah kau jadikan seluruh kehidupan kamu dengan kebaikan, walau apa cara dan situasi sekalipun.
“Maaf kalau ayah dan mama ada tersilap corak untuk mencantikkan keperibadian kamu.
“Mungkin kamulah yang kena lakukan sendiri untuk mencantikkan keperibadian kamu kelak,” ujarnya.
Sebelum ini, Achey dan isterinya iaitu Nor Hasanah Yahaya mengambil Tiara sebagai anak angkat selepas kanak-kanak itu dilahirkan pada 2018. – KOSMO! ONLINE