GUA MUSANG – Seorang suri rumah yang maut apabila kereta dipandu bertembung dengan lori di Kilometer 42, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 3 di sini hari ini dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya di asrama.
Suami mangsa, Mohd. Rizlan, 47, berkata, isterinya, Rohaya Jaafar, 42, memandu kereta jenis Perodua Kancil untuk pulang ke rumah di Felda Chiku.
Katanya, dia mengetahui mengenai nahas yang menimpa isterinya daripada seorang lagi anak perempuan ketika sedang bekerja.
“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Sudah menjadi rutin isteri untuk mengambil anak daripada asrama setiap kali pulang bercuti.
“Setiap kali mahu mengambil anak di asrama, arwah isteri akan memaklumkan kepada saya. Kami reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya.
Mohd. Rizlan berkata, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Manis di sini selepas proses bedah siasat selesai.
Terdahulu, seorang suri rumah maut selepas kereta dinaiki bersama dua anak lelaki berusia sembilan dan 14 tahun terbabas sebelum bertembung lori di laluan bertentangan di Kilometer 42, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berdekatan Felda Chiku 3.
Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kancil dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai.
Setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung lori. – KOSMO! ONLINE