MEKAH – Jemaah haji perlu memanfaatkan platform navigasi baharu, Google Walk yang berasaskan Google Maps dalam membantu mengenal pasti laluan pulang ke bangunan penginapan daripada mengelakkan tersasar.
Pengarah Operasi Maktab Tabung Haji (TH), Mohd. Fahmi Kamarudin berkata, TH menerusi Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Jabatan Haji memperkenalkan platform tersebut untuk kemudahan jemaah.
Menurutnya, platform berkenaan dibangunkan khusus untuk kegunaan jemaah haji Malaysia yang menginap di tujuh Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Mekah.
“Tahun ini pihak Pengurusan Operasi Maktab TH telah memperkenalkan Google Walk dan telah dikongsi kepada para jemaah melalui kumpulan WhatsApp setiap KT.
“Kemudahan ini turut boleh digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan teksi atau bas tempatan bagi memudahkan perjalanan pulang ke penginapan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelasnya, platform itu merupakan penambahbaikan daripada penggunaan lokasi langsung (live location) menerusi WhatsApp sebelum ini, dan dibangunkan berdasarkan kajian mendalam sejak beberapa tahun lalu.
“Google Walk ini lebih mudah dan mesra pengguna, selain tidak menggunakan data internet yang banyak. Ia sangat membantu jemaah yang tersasar arah, terutama selepas menyempurnakan ibadah umrah di kawasan Mas’a antara Safa dan Marwah.
“Walaupun platform ini tidak menyediakan tracker (penjejak), jemaah yang masih tidak menemui arah boleh berkongsi lokasi semasa mereka dan petugas TH akan membantu mengenal pasti lokasi dan memberi panduan arah,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan statistik, bilangan jemaah yang tersasar setiap tahun agak tinggi, terutama apabila berlaku kesesakan di sekitar Masjidil Haram.
Sementara itu, seorang jemaah haji, Sudiman Ahmad Tinggal, 40-an, memberitahu, dia menggunakan platform tersebut dan mendapati panduan navigasinya mudah serta mesra pengguna.
“Saya yang menginap di Abraj Al-Tayseer melihat ia amat memudahkan pergerakan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE