MARANG – Kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Apan Sungai Petani yang dipercayai aktif melakukan jenayah mencuri kabel telekomunikasi sejak tahun 2014 akhirnya berjaya ditumpaskan polis pada minggu lalu.
Kesemua 12 anggota kumpulan itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun diberkas setelah dipercayai mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah di Kampung Sungai Kerak di sini pada pukul 5.30 pagi, 8 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasatan awal percaya Geng Apan Sungai Petani tersebut terlibat sekurang-kurangnya 14 kes mencuri kabel telekomunikasi berskala besar di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu dan Kelantan sejak 11 tahun lalu.
Beliau berkata, kumpulan jenayah yang diketuai seorang lelaki berusia 30 tahun itu dianggotai 12 lelaki berasal utara tanah air dengan salah seorangnya pernah bekerja sebagai sub kontraktor syarikat telekomunikasi.
“Modus operandi mereka menyamar sebagai pekerja kontraktor syarikat telekomunikasi sebelum memotong kabel telekomunikasi bawah tanah dengan peralatan khas.
“Kebel telekomunikasi dicuri tersebut kemudiannya dipercayai dijual ke sebuah pusat barangan lusuh di utara tanah air,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, kesemua suspek yang menaiki kereta Perodua Axia dan kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza dikesan melakukan kerja-kerja mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah tersebut di Kampung Sungai Kerak di sini.
Beliau berkata, mereka terus diekori sebelum diberkas sebaik tiba di sebuah inap desa di Kampung Rhu Muda di sini pada pukul 10 pagi.
“Serbuan menemui semula kabel telekomunikasi yang sudah dipotong bernilai keseluruhan kira-kira RM20,000.
“Peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit seperti kuku kambing, tukul, mesin pencanai dan alat pembuka penutup kabel telekomunikasi bawah tanah juga berjaya dirampas,” katanya. – KOSMO! ONLINE