SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 51.18 kilogram (kg) sekali gus menahan dua lelaki tempatan di Perai di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejayaan itu susulan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Narkotik Bukit Aman menahan sebuah kereta yang dinaiki dua suspek lelaki berusia 45 dan 59 tahun.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut, polis menjumpai 50 ketulan mampat balutan plastik lutsinar yang berisi daun kering disyaki dadah ganja seberat 51,180 gram.
“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM158,658 malah boleh digunakan seramai 102,360 penagih dadah.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun masing-masing memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE