PETALING JAYA – Tiga bulan bergelar seorang ibu, pelakon Datin Atikah Suhaime terpaksa meninggalkan tabiat lama termasuk tidur lewat dan berhibur tidak tentu masa yang menjadi amalannya sewaktu bujang.
Semakin matang mendepani kehidupan, Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, kian sedar tentang fasa baharu dirinya yang kini lebih tertumpu sebagai seorang isteri dan ibu.
“Saya harus belajar menerima bahawa menjadi ibu, saya perlu mengucapkan selamat tinggal pada diri saya yang dulu.
“Tiada lagi tidur lewat, membeli-belah untuk diri sendiri dan berhibur.
“Saya harus belajar untuk menerima diri saya yang baru. Diri yang lebih baik, lebih tenang dan lebih matang,” katanya dalam satu hantaran Instagram miliknya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menasihati Atikah agar menikmati sahaja setiap momen bersama Mulan tanpa hiraukan kata-kata negatif daripada orang luar.
“Selamat menikmati alam keibuan. Sekejap sahaja bayi membesar. Apa-apa pun, awak sekarang dah makin kurus dan cantik!,” kata netizen.
“Betul itu, masa bujang dahulu, kita boleh tidur 100%. Lepas kahwin, tinggal 50% sahaja. Bila dah jadi ibu, tinggal 25% sahaja untuk waktu tidur tetapi kita jadi versi yang lebih baik,” ujar netizen.
“Tidak mengapa Atikah, bila anak sudah besar nanti baru boleh fokus pada diri sendiri pula. Anak ini memang sekejap sahaja kecil, dalam sekelip mata dah membesar. Seronok tengok perubahan diri awak sekarang,” komen seorang lagi netizen.
Atikah Suhaime dan suaminya, Datuk Lokman Teh bernikah pada 21 Januari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan sahabat terdekat.
Hasil perkahwinan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan bernama Lyla Mulan Teh 8 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE