KOTA TINGGI – Belum hilang rasa sedih selepas kehilangan ibu pada Ramadan lalu, sebuah keluarga di sini terpaksa berdepan detik duka selepas kehilangan adik mereka yang maut selepas melanggar seekor lembu melintas jalan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa, Arshad Khamis, 49, meninggal dunia dalam kejadian di Kilometer 5 Jalan Lok Heng – Mawai di sini.
Menurut abang mangsa, Rais, 51, berkata, adiknya, Arshad merupakan anak kelima dari sembilan beradik bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar Bandar Penawar sejak lebih lima tahun lalu.
Katanya, apa yang lebih mengejutkan apabila mendapat berita kemalangan maut melibatkan adiknya yang dalam perjalanan pulang ke rumah mentuanya di Felda Lok Heng Barat di sini.
Menurutnya, dia difahamkan adiknya itu biasa akan pulang ke rumah sekitar pukul 10 atau 11 malam namun malam tadi kelibat arwah tidak kelihatan sebelum ditemui orang awam di lokasi kejadian.
“Kami adik-beradik terkejut dengan pemergian arwah kerana selama ini dia tidak pernah terlibat dengan kemalangan serius sepanjang bekerja sebagai rider mahupun ketika zaman bujang, memang tidak sangka dia maut dalam kemalangan.
“Mak kami baru meninggal dunia pada minggu pertama Ramadan lalu sebab sakit buah pinggang kronik. Tidak habis lagi sedih disebabkan pemergian mak kami hilang adik pula.
“Bagaimanapun kami pasrah dan reda dengan kematiannya, ” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.
Katanya, arwah yang mempunyai tiga orang anak sebelum ini bekerja sebagai pemandu kren di Pengerang sebelum bekerja sebagai ‘rider’.
Sementara itu, Rais berharap agar penternak lembu lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran hingga membahayakan pengguna jalan raya.
Jelasnya, pihak yang bertanggungjawab juga perlulah melakukan sesuatu agar insiden melibatkan lembu tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Menurutnya, apa diharapkan apa yang menimpa adiknya itu tidak berlaku kepada orang lain dan menjadi insiden yang terakhir.
“Tidak salah kalau nak bela lembu, tetapi bela elok-elok dalam kandang. Jangan sampai lepas ke jalan sehingga nyawa orang melayang.
“Isu lembu ini di jalan tersebut sudah lama berlaku, dah lebih 10 tahun. Selalu dalam Facebook bila berlaku kemalangan libat lembu kita selalu tag pihak-pihak berkenaan tetapi biasanya jadi isu sekejap sahaja dua tiga hari selepas itu senyap.
“Kita tidak mahu insiden lembu ini berlaku pada sesiapa tetapi tak sangka hari ini berlaku pada ahli keluarga kami. Kita harap pihak yang menternak lembu kalau boleh awasi lembu jangan sampai ke jalan raya.
“Kalau boleh biarlah insiden yang meragut nyawa adik kami ini adalah yang terakhir berlaku jangan ada lagi kemalangan melibatkan lembu di jalan raya selepas ini,” katanya lagi.
Tambahnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lok Heng Barat di sini.-KOSMO! ONLINE