fbpx

Anwar perkukuh hubungan dengan komuniti Islam Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama Sheikh Ravil pada lawatan rasmi ke Russia. Foto Facebook Anwar.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan rangka lawatan rasmi beliau ke Russia dengan mengadakan pertemuan bersama Mufti Besar Rusisa, Sheikh Ravil Gaynutdin yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Russia.

Pertemuan tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam mempererat ukhuwah antara komuniti Islam Malaysia dan Russia, di samping menjalin hubungan lebih erat dengan lebih 25 juta umat Islam di negara berkenaan yang hidup dalam kepelbagaian aliran dan tradisi.

Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau bersama Sheikh Ravil bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, pertukaran kepakaran serta memperkasa industri halal Russia dengan menjadikan Malaysia sebagai model pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Russia.

“Ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan, kebencian dan prejudis,” katanya pada hantaran itu hari ini.

Sebagai simbol persahabatan dan dakwah, Perdana Menteri turut menghadiahkan senaskhah al-Quran beserta terjemahan dalam bahasa Russia kepada Sheikh Ravil, selari dengan aspirasi Malaysia Madani mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia sebagai usaha memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam serta menangkis gelombang Islamofobia.

“Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil turut menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi,” ujarnya.

Pertemuan ini menyusul selepas perjumpaan rasmi Anwar bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam rangka memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Russia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI