fbpx

Anwar hayati sejarah, keindahan seni bina Moscow di sela jadual rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika beriadah dengan berjalan kaki di sekitar kota Moscow. Foto Facebook Anwar

PETALING JAYA – Di tengah-tengah kesibukan jadual rasmi lawatan kerja ke Russia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan sedikit masa untuk beriadah dan menelusuri beberapa lokasi bersejarah serta ikonik di kota Moscow.

Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, beliau berjalan kaki sekitar kawasan Dataran Merah yang sarat dengan nilai sejarah dan kebudayaan Rusia, termasuk era empayar Tsar, Revolusi Oktober dan zaman Kesatuan Soviet.

“Saya menghayati keagungan seni bina di sekitar Dataran Merah, tapak bersejarah yang menyaksikan peristiwa penting empayar Tsar, Revolusi Oktober dan era Kesatuan Soviet.

“Di samping terpukau dengan keindahan Katedral St Basil yang dibina pada abad ke-16 sebagai simbol kemenangan Rusia menewaskan tentera Tatar Kazan,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalamannya menikmati suasana indah di Taman Zaryadye dan melintasi jambatan gantung yang menawarkan pemandangan mengasyikkan Sungai Moscow.

“Saya juga sempat berjalan di Taman Zaryadye sebelum menyeberangi jambatan gantung dan menikmati keindahan Sungai Moscow. Alhamdulillah,” ujarnya.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi empat harinya ke Russia yang akan berakhir esok.

Anwar dijadual meneruskan perjalanan ke Kazan bagi menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan Kazan Forum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI