SUNGAI BULOH – Penduduk di Taman Matang Jaya, di sini gempar apabila dihujani serpihan batu kuari sehingga mengakibatkan kerosakan teruk pada kediaman mereka, kelmarin.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.12 petang itu, sebanyak 76 buah rumah terjejas manakala seorang pelajar berusia 20 tahun cedera ringan susulan insiden terbabit.
Pengerusi taman berkenaan, Ahmad Saidfuddin Mohd. Adam berkata, kejadian berpunca daripada aktiviti letupan di sebuah lombong kuari berhampiran menyebabkan serpihan batu melayang sejauh hampir satu kilometer ke arah rumah penduduk.
Menurutnya, aktiviti letupan itu merupakan operasi rutin kuari yang dijalankan dua hingga empat kali seminggu bertujuan memecahkan batu bagi tujuan perlombongan.
“Sejak saya menetap di taman ini pada 2006, memang sudah biasa dengan bunyi letupan. Tetapi kali ini, penduduk beritahu letupan yang berlaku sangat kuat dan gegarannya seakan gempa bumi.
“Letupan itu menyebabkan serpihan batu melayang dan menghentam bumbung rumah mereka sehingga bocor,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad Saidfuddin berkata, sebanyak 13 buah rumah mengalami kerosakan teruk manakala 63 lagi turut terjejas meliputi keretakan pada dinding, lantai serta paip pecah.
Kata Ahmad Saidfuddin, satu pertemuan telah diadakan semalam dengan wakil syarikat kuari serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Perhutanan Selangor serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Syarikat kuari bersetuju untuk membayar ganti rugi bagi membaiki kerosakan yang berlaku pada kediaman penduduk.
“Namun kita juga minta jaminan supaya kejadian sama tidak berulang. Jadi, pihak JMG telah memberikan arahan supaya aktiviti letupan di kuari terbabit dihentikan sementara bagi menjalankan siasatan,” ujarnya.
Difahamkan, taman tersebut mempunyai sebanyak 240 rumah dengan jumlah penduduk sekitar 1,000 orang.
Sementara itu, penduduk, Salwa Mat Radzi, 55, berkata, ketika kejadian, dia dan suami berada di dapur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat pada bumbung rumah mereka.
“Saya ada dengar bunyi siren sebelum letupan tapi tak sangka, serpihan batu sebesar ‘helmet motosikal’ jatuh daripada siling di ruang tamu. Macam terkena ‘serpihan meteor’,” katanya.
Sehubungan itu, Salwa mengakui bimbang sekiranya kejadian seumpama itu berulang yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan jiwa.
“Selama ini, penduduk di sini terpaksa menanggung pelbagai kerosakan rumah seperti dinding dan lantai retak selain berhadapan dengan habuk dan gangguan bunyi letupan.
“Kami jadi trauma dengan kejadian ini, jika kami ada di ruang tamu mungkin boleh cedera,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Maizatul Ikmal Ramli, 29, berkata, tiada siapa berada di rumah ketika kejadian, namun dia mendapati atap genting dan siling rumahnya telah berlubang selain terdapat serpihan batu di lantai setelah pulang daripada kerja. – KOSMO! ONLINE