PETALING JAYA – Menetap di negara tercinta iaitu Malaysia sejak 32 tahun lalu, pelakon Josiah Hogan masih menunggu status permohonan kewarganegaraan yang belum selesai sehingga ke hari ini.
Josiah atau nama sebenarnya, Josiah Padilla Hogan, 39, berkata, disebabkan permohonan kerakyatan dibuat di Putrajaya, dia perlu mendapatkan tandatangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi pengesahan daripada kerajaan negeri Selangor yang menjadi tempat bermastautin.
“Permohonan kerakyatan yang saya masih dalam proses. Saya dimaklumkan Menteri Besar Selangor perlu tandatangan permohonan itu kerana dihantar melalui Putrajaya.
“Saya juga ada mohon surat sokongan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tetapi bukan untuk potong giliran, sebaliknya hanya sebagai sokongan untuk diserahkan sekali bersama dokumen kepada Menteri Besar,” katanya ketika hadir mempromosikan filem Misteri Fraser 1910, semalam.
Kata pelakon berdarah Amerika-Latin yang dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat itu, semua dokumen berkaitan sudah lengkap dikemukakan namun dia tidak pasti mengenai tempoh mahupun proses kelulusan.
“Saya ikut prosedur dan tak potong barisan. Dokumen juga sudah dihantar dan sekarang cuma tunggu tandatangan daripada pihak yang sepatutnya,” ujarnya.
Pada masa sama, Josiah memaklumkan permohonan ibunya yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan bermastautin di sini sejak lebih tiga dekad lalu baru diluluskan.
“Mak saya mohon di Kuantan, Pahang sebab dia tinggal di sana. Permohonannya sudah diluluskan dan sekarang hanya tunggu giliran untuk terima kad pengenalan.
“Mungkin kelulusan yang diperoleh lebih cepat berikutan jumlah pemohon di pejabat kerajaan berkaitan tak ramai,” katanya.
Sebelum ini, Josiah yang aktif di arena seni sejak tahun 2010 mendedahkan perlu membayar sekitar AS$5,000 atau RM23,000 kepada kerajaan Amerika Syarikat bagi melepaskan taraf kewarganegaraannya.
Difahamkan aktor, pemuzik dan pengacara itu berpindah ke Malaysia bersama ibunya ketika berusia tujuh tahun itu membuat permohonan sejak 2019.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Nurul Hidayu Mohamed Nordin pada Mei 2013 dan dikurniakan tiga anak. – KOSMO! ONLINE