JOHOR BAHRU – Tiga daripada enam lelaki anggota kumpulan skinhead yang disyaki terlibat membelasah vokalis band tempatan, Armpunk Sindicate akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga suspek akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
“Polis mengesahkan kes pergaduhan yang tular di media sosial melibatkan beberapa individu di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada 10 Mei lalu dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor dan tindakan lanjut telah diambil.
“Seramai enam lelaki tempatan ditahan. Hasil siasatan dan arahan pihak pendakwaan tiga suspek utama akan didakwa pada 16 Mei (esok) di Mahkamah Johor Bahru.
“Tiga lagi individu dibebaskan tanpa syarat selepas semakan lanjut dibuat berhubung penglibatan mereka dalam kejadian tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 11 Mei lalu, polis menahan tiga suspek berusia 34 hingga 36 tahun pada pukul 11.30 malam di sekitar Johor Bahru dan Segamat.
Susulan itu, pada keesokan harinya pihak berkuasa membuat tangkapan susulan ke atas tiga lagi lelaki berusia 28 hingga 40 tahun di sekitar bandar raya ini dan Segamat.
Dalam kejadian itu, penyanyi Armpunk Sindicate dikenali sebagai Zed, 23, cedera selepas dibelasah beramai-ramai di hadapan tandas sebuah pusat beli-belah sebelum diseret, namun mangsa sempat menyelamatkan diri dan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut di Ampang, Selangor.– KOSMO! ONLINE