PETALING JAYA – Pelakon popular, Fasha Sandha mengakui banyak menghabiskan masa bersama kanak-kanak kerana mereka membawa kegembiraan dalam hidupnya.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata, kanak-kanak tidak menyakitkan kepala berbanding orang dewasa yang kebanyakannya bersikap talam dua muka.
“Ramai tanya tidak pening ke selalu dikellingi ramai budak-budak. Budak-budak sebenarnya tidak memeningkan, mereka adalah kegembiraan saya.
“Yang memeningkan adalah orang yang talam dua muka, ‘fake friends’ (kawan bermuka-muka) dan berdrama,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.
Pelakon drama Khilaf Asmara itu turut memaklumkan kasih sayangnya terhadap kanak-kanak tidak akan pernah luntur walaupun suatu hari nanti mereka melupakannya.
“Saya sayangkan mereka sampai bila-bila. Tidak kisahlah bila dah besar mereka mungkin tidak ingat saya, tidak mengapa.
“Yang penting apabila mereka terdetik rasa gembira di hati, itu adalah nikmat kegembiraan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, hantaran tersebut dipercayai dimuat naik selepas menerima pertanyaan netizen kenapa sering meluangkan masa bersama kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. – KOSMO! ONLINE