KUALA LANGAT – Seorang vendor perkhidmatan mel udara maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan lori 10 tan di Jalan Labuhan di sini hari ini.
Mangsa yang terperosok di bawah jentera berat itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pukul 12.34 tengah hari.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, nahas melibatkan sebuah lori dan penunggang motosikal Yamaha LC.
“Kamalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berada di bawah lori. Mangsa dibawa keluar pukul 2 petang dan disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE