fbpx
Isteri Shuib iaitu Watie mendedahkan dia mengalami keguguran anak pertama.

Tunggu mummy di pintu syurga, isteri Shuib keguguran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkongsian sedih ketika sambutan Hari Ibu terjawab apabila isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah mengesahkan mengalami keguguran minggu lalu.

Berkongsi lanjut, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 36, memaklumkan pernah mendapat petanda daripada mimpi akan keguguran sebelum perkara itu menjadi kenyataan.

“Siang malam mummy berendam air mata fikirkan kamu, maaf kerana tak menjaga kamu dengan baik saat kamu ada dalam rahim mummy.

“Maaf kerana tak menghargai kehadiran kamu pada saat mummy terlupa begitu senang dan baiknya Allah berikan kamu, walhal mummy dah dapat petanda dari mimpi yang mummy akan keguguran.

“Setiap masa mummy fikir adakah mimpi itu akan jadi kenyataan. 11 Mei 2025, mummy dapat berita kamu betul-betul pergi tinggalkan mummy,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam masa sama, Watie sedaya upaya tenang menghadapi situasi sukar tersebut selain tidak akan melupakan zuriat pertamanya yang dinamakan Bintang itu.

“Saat di dunia mummy jaga anak-anak ibu (Siti Sarah), saat kamu di syurga ada lbu yang menjaga anak mummy.

“Walaupun mummy tahu kata-kata ini hanyalah penyedap hati tapi cukup menenangkan hati mummy saat ini.

“Moga kamu dan ibu pada anak-anak mummy menunggu kami semua di pintu syurga nanti. Bintang yang pertama akan selalu di ingatan mummy,” ujarnya.

Tidak hanya itu, dia juga melihat perkara tersebut dari sudut positif selain reda berdepan dugaan yang Allah berikan.

“Mungkin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat mummy. Mungkin Mummy masih belum mampu jadi Mummy yang baik dan adil buat kamu, kakak serta abang-abang kamu.

“Mungkin masih banyak yang perlu mummy pelajari sebelum kamu lahir ke dunia ini dan mungkin Allah nak mummy lebih menghargai anak-anak yang mummy ada sebelum adanya kamu.

“Mummy reda walau terasa perit untuk mummy hadapi. Mummy tetap bersyukur Allah titipkan kamu walau hanya beberapa bulan yang indah,” tuturnya lagi.

Selain itu, Watie turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengikutnya yang sentiasa memberikan kata-kata semangat sepanjang melalui detik paling sedih dalam hidupnya.

“Terima kasih untuk kata-kata semangat dari kalian, mummy tak mampu lagi untuk berjumpa. Maaf atas kerja-kerja yang tergendala.

“Mummy masih dalam fasa perasaan paling sedih yang mummy rasakan dalam hidup tapi dengan kata-kata dari kalian ini jugalah sedikit sebanyak dapat memujuk hati mummy ketika ini,” jelasnya.

Ahad lalu, Watie memuat naik foto ilustrasi memaparkan seorang bayi yang sedang dalam perjalanan ke syurga sambil melambai ibunya.

Dia turut berkongsi kata-kata sedih mengenai kehilangan tersebut seolah-olah memberi bayangan sedang melalui episod duka.

Sebelum ini, Watie menjadi perhatian ketika menghadiri majlis persandingan pelakon Eyka Farhana dan Akhyar kerana menampakkan bentuk perutnya atau ‘baby bump’.

Namun, tiada kenyataan rasmi yang dibuat Watie mahupun suaminya berhubung desas-desus bakal menimang cahaya mata.

Untuk rekod, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri pada 23 Jun 2023.

Shuib sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan arwah penyanyi Siti Sarah Raissuddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI