fbpx

Tugasan terakhir sebelum maut dirempuh lori batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba dan polis membantu mangsa yang terlibat dalam nahas FRU dengan lori batu di Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN – Negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi pilu melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) apabila sembilan anggota di­sahkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung de­ngan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini semalam.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selepas 35 tahun insiden sama yang mengorbankan 11 anggota FRU dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990.

Ketika itu, kesemua mangsa dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dalam perjalanan menjalani latihan di Kuala Terengganu, Terengganu sebelum trak FRU dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Dalam kejadian di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada pukul 8.54 pagi semalam, seramai sembilan anggota meninggal dunia dengan lapan daripadanya disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika 18 anggota dari FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam berada di dalam trak yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, kereta peronda (MPV) PK 251 telah diarah­kan ke lokasi dan pemeriksaan awal mendapati seramai lapan anggota telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi anggota me­ninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala dua anggota masih menerima rawatan di Zon Merah dan tujuh anggota lagi di Zon Kuning.

“Pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an tidak me­ngalami kecederaan dan telah ditahan,” katanya di sini semalam.

PASUKAN polis memeriksa trak FRU yang terlibat kemalangan sehingga mengorbankan sembilan anggota di Teluk Intan semalam.

Lapan anggota yang maut dilokasi kejadian ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Ko­peral Mohd. Pozli Jaudin, Ko­peral Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.

Seorang lagi yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan ialah Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, siasatan awal mendapati kegagalan fungsi stereng lori yang membawa muatan pasir dipercayai menjadi punca kepada kemalangan itu.

“Kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh lori muatan batu.

“Tujuh kenderaan terlibat dalam konvoi itu termasuk dua buah pacuan empat roda, empat buah lori dan sebuah bas dengan kenderaan membawa mangsa yang kelima dalam barisan.

“Penugasan anggota ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU iaitu jika berlangsung selama tiga hari, satu hari untuk perjalanan ke lokasi, satu hari untuk bertugas, dan satu hari untuk pulang. Itu adalah protokol standard FRU,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisam memaklumkan, sembilan anggota yang dilaporkan cedera masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas sembilan anggota yang terkorban dilakukan bermula pukul 2.30 petang dan dijangka selesai pada 8 malam.

TRAK FRU yang terlibat kemalangan di Teluk Intan semalam dialihkan untuk kerja-kerja siasatan. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Katanya, sebaik proses bedah siasat selesai, jenazah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk solat jenazah sebelum ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi penghormatan terakhir.

“Sebaik selesai acara penghormatan terakhir, semua jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video dan gambar-gambar kejadian menunjukkan keadaan sebuah trak FRU yang dalam keadaan remuk selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan batu.

Menerusi gambar dan video itu, beberapa anggota bomba dan polis turut berusaha menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam trak dan timbunan batu dari lori berkenaan.

Pada 28 Februari 1990, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mene­rima perkhabaran sedih apabila sepasukan anggota FRU dari Pulapol Kuala Lumpur mengalami kemalangan di Kilometer (KM) 31, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.

Kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan tersebut telah mengorbankan 11 anggota FRU dari Trup 4B yang ketika itu berada dalam trak paling hadapan bersama empat buah kenderaan FRU lain.

Trak dinaiki kesemua mangsa dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan dalam insiden itu.

Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan trak berke­naan terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak daripada perlanggaran tersebut.

Lima anggota FRU telah me­ninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah.

Mereka yang terkorban adalah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Ko­peral Shahimi Lazim, Lans Ko­peral Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd. Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd. Razali Bidin, Konstabel Mohd. Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI