RAUB – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan ketika sedang menceroboh kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Sang Lee, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga suspek ditahan selepas dikesan menaiki motosikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut secara haram.
“Hasil pemerhatian sehingga pukul 12.30 tengah hari telah berjaya menahan dua lelaki tempatan dan satu lelaki Indonesia yang sedang menunggang motosikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut.
“Tangkapan telah dilakukan keatas ketiga-tiga lelaki berkenaan dan pihak polis juga bertindak menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan oleh pihak Pejabat Hutan mengesahkan lokasi tangkapan berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal selain terdapat kesan aktiviti pencerobohan tanah.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Hutan Daerah Raub di bawah Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
“Sebarang maklumat berkaitan pencerobohan hutan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE