JOHOR BAHRU – Seorang pesara swasta wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM2,000 kepada anggota penguat kuasa di Bandar Medini Iskandar, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sia Joo Hoe, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana menjalankan perniagaan tanpa memiliki lesen yang sah.
Perbuatan itu dibuat tertuduh selepas melakukan kesalahan di bawah Undang-undang 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018, Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jabatan Penguatkuasaan, MBIP, Jalan Medini Sentral 9, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri dekat sini, kira-kira 9 pagi, 30 Ogos 2022.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula 18 Jun depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE