fbpx

Sarjan disyaki cabul pelajar MRSM direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka untuk permohonan tahanan reman. - Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, minggu lalu.

Perintah reman sehingga 20 Mei ini dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Gajah,Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 11 Mei lalu selepas ibu pelajar berkenaan yang berusia 33 tahun memeriksa telefon bimbit milik anaknya untuk mengakses emel bertujuan mengawal penggunaan peranti tersebut.

Katanya, wanita itu kemudian terlihat perbualan mencurigakan anaknya dengan suspek yang merupakan jiran mereka.

“Mangsa menyimpan nombor telefon suspek dan berkenalan sejak Januari lalu selepas kerap berjumpa di kawasan taman permainan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru. Mereka semakin rapat kerana sering berhubung melalui aplikasi Whatsapp dan mangsa juga mengaku pernah keluar beberapa kali dengan suspek,” katanya.

Tambahnya, pada 4 Mei lalu suspek telah menjemput mangsa yang bersekolah di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka tanpa pengetahuan ibunya selepas mendapat kebenaran keluar (outing).

“Suspek membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum bertindak mencabul remaja itu di dalam kereta. Ibu mangsa yang membaca perbualan di Whatsapp telah bertanyakan kepada mangsa dan mengaku suspek mencabulnya,” ujarnya.

Katanya, wanita itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI