KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis memutuskan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri itu berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, keputusan itu akan melibatkan kurang daripada 50 premis yang menjual vape.
Justeru, pihaknya berharap agar pengusaha terlibat dapat bersiap sedia untuk mencari perniagaan baharu sebelum tarikh tersebut.
“Kerajaan negeri akan memberikan sokongan kepada pengusaha vape di Perlis untuk mereka membuka perniagaan baharu yang bersesuaian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini
Kata beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati penggunaan vape memberi kesan negatif dan menjadi ancaman kepada golongan anak muda di negeri itu.
“Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan vape dan kerajaan negeri berusaha melaksanakannya secara menyeluruh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE