PETALING JAYA – Pelajar-pelajar Malaysia di Russia teruja dapat bertemu dan berinteraksi dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pertemuan Perdana Menteri dengan pelajar Malaysia itu diadakan setibanya Anwar di Moscow.
‘Perdana Menteri mengadakan dialog dan sesi interaksi dengan pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Keseluruhannya, terdapat lebih 550 pelajar Malaysia sedang belajar di seluruh Russia dalam pelbagai bidang.
“Hubungan Malaysia dan Russia telah terbentuk sejak April 1967. Sejak itu, pelbagai kerjasama bersama terjalin termasuk dalam sektor ekonomi, perdagangan dan juga pendidikan tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar tiba di Moscow malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi empat hari ke negara tersebut.
Zambry berkata, Perdana Menteri berkongsi dengan pelajar terbabit berkenaan isu semasa geopolitik tanah air dan dunia termasuk isu tarif dikenakan Amerika Syarikat.
Katanya, beliau sendiri turut berjumpa dan bertanyakan kepada pelajar tentang pelajaran, kebajikan dan perkara-perkara yang mungkin boleh diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Insya-Allah perkara yang dinyatakan akan kita bantu untuk dipermudahkan.
“Saya doakan anak-anak pelajar ini dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan kembali pulang ke tanah air untuk kembali menyumbang tenaga dan kemahiran anda untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE