TELUK INTAN – Tiga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang mengalami kecederaan dalam nahas di Jalan Chikus – Sungai Lampam masih kritikal dan tidak sedarkan diri di Hospital Teluk Intan di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga anggota itu ialah Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39.
Katanya, empat lagi anggota yang cedera dalam keadaan sedar dan stabil di hospital itu ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44.
“Ketika ini, ketiga-tiga pegawai masih kritikal dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pihak polis bersama wakil kebajikan sudah melawat mereka dan keluarga hari ini bagi memberikan sokongan moral,” katanya.-KOSMO! ONLINE