TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini semalam direman selama empat hari.
Permohonan reman ke atas lelaki berusia 45 tahun itu dikemukakan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan kes itu akan dijalankan daripada pelbagai aspek termasuk isu teknikal, kecuaian manusia dan persekitaran.
“Kes (kemalangan) ini amat serius dan saya sendiri hadir ke mahkamah hari ini bagi membuat permohonan reman terhadap suspek.
“Siasatan teliti dan menyeluruh akan dijalankan bagi membantu pendakwaan terhadap lelaki itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, suspek yang memakai baju T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru gelap tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum dibawa keluar kira-kira sejam kemudian. – KOSMO! ONLINE