PETALING JAYA – Tahap keselamatan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) wajib dipertingkatkan bagi memastikan nasib anggota terus terjamin.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah pemasangan tali pinggang keledar bagi anggota yang berada di belakang trak.
Katanya, selain itu, penggunaan trak sebagai pengangkutan perlu diganti dengan bas yang bersesuaian untuk tujuan ke destinasi biasa atau perjalanan jauh.
Jamil berkata, isu pematuhan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bukanlah sesuatu yang baharu dan semua pemilik kenderaan perdagangan sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut.
“Namun persoalannya, sejauh mana ia dipatuhi oleh pemilik kenderaan dan sekerap mana Road Safety Audit iaitu pemeriksaan berkala dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Mungkin Kementerian Pengangkutan perlu mempertimbang supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan kembali bagi memantau sikap operator kenderaan awam mahupun perdagangan mematuhi Amalan ICOP sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamil turut menyarankan agar sistem Penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) diaktifkan semula.
Jelasnya, ia sebagai langkah berkesan untuk mengenal pasti rekod pemandu atau pemilik kenderaan selain membantu operator pengangkutan untuk membuat saringan semasa memerlukan pemandu.
“Dakwaan mengatakan pemandu lori cuba mengelak dan sistem stereng rosak menjadi punca kemalangan perlu disiasat sepenuhnya bagi merungkai punca sebenar.
“Bagaimanapun, pihak pemilik kenderaan sepatutnya turut bertanggungjawab bagi memastikan pemandu bersih daripada rekod jenayah.
“Insiden membabitkan pemandu yang mempunyai rekod jenayah, bukan perkara baharu dan semua pihak perlu memberi keutamaan untuk memantau amalan pemanduan dan penyelenggaraan selamat oleh pemandu dan ahli-ahli,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh maut dalam nahas membabitkan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 itu, trak FRU tersebut membawa 15 anggota termasuk pemandu. – KOSMO! ONLINE