WASHINGTON – Syarikat gergasi teknologi, Microsoft akan memberhentikan hampir 3 peratus tenaga kerja di seluruh dunia, selari dengan pemberhentian yang dibuat oleh syarikat teknologi lain, lapor agensi berita United Press International semalam.
Menurut saluran berita CNBC News, ia melibatkan kira-kira 6,000 kakitangan.
“Kami akan terus melaksanakan perubahan organisasi yang diperlukan untuk memastikan syarikat berada dalam posisi terbaik dalam pasaran dinamik,” kata jurucakap Microsoft dalam satu kenyataan.
Microsoft merekodkan pulangan kewangan lebih baik daripada jangkaan bulan lepas dengan keuntungan bersih suku tahunan melebihi AS$25 bilion (RM107 bilion).
Jumlah tenaga kerja Microsoft di seluruh dunia setakat Jun 2024 adalah seramai 228,000 orang dengan 126,000 kakitangan di Amerika Syarikat.
Pemberhentian ini merupakan yang terbesar sejak 2023, di mana seramai 10,000 orang diberhentikan.
Tambah jurucakap itu, objektif utama langkah tersebut tidak berkaitan dengan pemberhentian berasaskan prestasi yang kurang memberangsangkan pada Januari lalu.
Ketua Pegawai Kewangan Microsoft, Amy Hood menjelaskan bahawa syarikat itu memberi tumpuan bagi membina pasukan berprestasi tinggi dan meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan lapisan pengurusan.
Hampir 60,000 pekerja teknologi diberhentikan di 127 syarikat setakat tahun ini, demikian menurut data daripada laman penjejakan pemberhentian, Layoffs.fyi. – AGENSI