fbpx

Malaysia cari pemain takraw lebih variasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAIZAT (kanan) cuba menghalang rejaman pemain Thailand pada aksi final double di Stadium Titiwangsa kelmarin. - SYAKIR RADIN

SKUAD sepak takraw kebangsaan kini memberi tumpuan kepada misi menambah variasi dalam pemilihan pemain khususnya acara double bagi menghadapi cabaran lebih besar di pentas antarabangsa seperti Piala Raja Thai yang berlangsung Julai nanti.

Jurulatih double kebangsaan, Aswadi Abdullah mengakui barisan pemain menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang kempen Piala Asia 2025, namun menyedari kekurangan yang perlu diperbaiki untuk menyaingi kuasa besar seperti Thailand.

“Kalau kita tengok dari awal hingga ke final, pemain dah tunjukkan yang terbaik. Dari peringkat kumpulan ke separuh akhir, mereka terjemahkan permainan dengan baik.

“Cuma aksi final, mungkin ada peluang kita tak dapat manfaatkan dan Thailand menggunakan kesempatan untuk mencipta kebangkitan,” katanya.

Impian untuk muncul juara tidak kesampaian apabila gandingan Noraizat Mohd. Nordin dan Aidil Aiman Azwawi tewas 1-2 kepada pasangan Thailand dalam aksi final double yang cukup mendebarkan di Stadium Titiwangsa.

Perubahan ke arah membentuk skuad lebih versatil juga dibuat susulan kejayaan Thailand menjuarai acara double, sekali gus menonjolkan jurang dari segi ketajaman taktikal dan kekuatan posisi dimiliki skuad Gajah Perang tersebut.

Aswadi secara terbuka mengakui kelebihan taktikal Thailand, terutama posisi apit kiri mampu melakukan rejaman bertenaga, sesuatu yang jarang dimiliki pemain Malaysia ketika ini.

“Thailand ada pengumpan apit kiri yang boleh buat rejaman. Itu satu kelebihan besar. Di Malaysia, kita tidak ramai pemain yang mempunyai ciri seperti itu. Kalau nak bersaing di peringkat antarabangsa, kita perlu pemain yang lebih variasi,” katanya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk memperbanyakkan penganjuran acara kuadran dan double dalam negara bagi melahirkan lebih ramai pemain yang berkemahiran tinggi dalam format tersebut.

“Mengenai Piala Raja Thai masih dalam peringkat perbincangan, tapi kita ada perancangan awal untuk cuba teroka pemain baharu. Kita mahu cari bakat yang boleh beri lebih variasi kepada pasukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI