SEREMBAN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan di dalam kelas dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun sembilan bulan ketika kejadian membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Bagaimanapun hukuman tidak dijatuhkan hari ini selepas peguam Shameera Abdul Hamid memohon anak guamnya diikat jamin sementara menunggu laporan akhlak dengan kadar yang munasabah dan tidak membebankan.
Shameera memohon mahkamah mengambil kira usia tertuduh ketika kejadian dan adalah wajar mahkamah mempertimbangkan untuk mengguna pakai Akta Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini berusia 20 tahun didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun ketika kejadian dalam kelas di sebuah sekolah menengah di daerah ini pada 22 November 2023. – KOSMO! ONLINE