NEW DELHI – Seorang lelaki di India cedera apabila mangkuk tandas di rumahnya meletup sehingga mencetuskan kebakaran kecil selepas dia menekan butang mengepam air, lapor portal berita Hindustan Times semalam.
Dalam kejadian pelik dan mengejutkan beberapa hari lalu, lelaki tersebut, Ashu Nagar cedera parah apabila tandas itu meletup di rumahnya di Greater Noida.
“Letupan itu menyebabkan Ashu mengalami kecederaan parah di muka dan badan.
“Dia dikejarkan ke hospital di Greater Noida, di mana doktor mengesahkan bahawa 35 peratus badannya melecur,” kata bapa mangsa, Sunil Pradhan.
Mengikut siasatan awal, letupan itu disebabkan oleh pengumpulan gas metana.
Keluarga tersebut berpendapat bahawa gas metana mungkin terkumpul di dalam mangkuk tandas yang disebabkan oleh longkang tersumbat.
Menurut mereka, percikan api mungkin telah menyalakan gas yang menyebabkan letupan.
Bagaimanapun, punca percikan api itu tidak diketahui sehingga kini. – AGENSI