fbpx

Laporan nahas FRU mesti dibentang dalam sebulan – Saifuddin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution (tengah) menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, di Kuarters FRU Sg. Senam di Ipoh hari ini.

IPOH – Hasil siasatan pasukan petugas khas berhubung nahas yang meragut sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan semalam perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu diputuskan ketika mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.

“Yang pertama, Kementerian Pengangkutan perlu segera menunjukkan hasil siasatan pasukan petugas khas dalam masa sebulan.

“(Kementerian Pengangkutan) mesti membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri, manakala polis sudah tentu membuka siasatan terhadap pemandu,” katanya selepas melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif di Kuarters FRU Sg. Senam di sini.

Saifuddin Nasution berkata, pihak kementerian akan menugaskan kaunselor untuk memberikan khidmat kepada keluarga mangsa yang sedang mengharungi tempoh sukar ekoran insiden kemalangan tersebut.

“Kita tidak boleh ‘underestimate’ (pandang rendah) kejutan yang mereka alami. Baru semalam orang yang mereka sayang ada bersama, tiba-tiba hari ini tak ada. Jadi, khidmat kaunselor diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, trak yang dinaiki anggota FRU ketika kejadian mempunyai rekod penyelenggaraan baik walaupun digunakan sejak tahun 1997.

“Rekod penyelenggaraan tak ada masalah. Maksudnya masih lagi ‘roadworthy’ (layak dipandu),” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan punca kemalangan itu sama ada daripada manusia atau lain-lain dan perkara tersebut perlu diserahkan kepada pasukan siasatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri komited untuk menambah baik semua aset agensi penguat kuasa di bawah kementerian berkenaan.

Tambanya, beliau telah memberikan arahan supaya penyaluran insurans berkelompok kepada waris dapat disegerakan dan ia dijangka dapat dilaksanakan dalam masa dua hingga tiga minggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI