fbpx

Kurang fizikal tapi ingin ibadah sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN (tengah) tetap ceria selepas dapat menunaikan ibadah haji bersama kakak dan adiknya ketika ditemui baru-baru ini.

MEKAH – Seorang bekas pesakit retinoblastoma atau kanser mata mengakui dia akan berasa malu sekiranya tidak menggunakan kesempatan sebagai tetamu Allah untuk beribadah bersungguh-sungguh di Tanah Suci.

Melihat kepada parut besar di atas kepala Aminuddin Hassan, 36, selain mata sebelah kanannya terpaksa dibuang akibat kanser itu pada usia dua tahun pasti mendatangkan perasaan ihsan kepada pemuda berasal dari Kampung Kubang Lembek, Manir di Kuala Terengganu itu.

Namun, Pembantu Operasi, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang sudah pulih sepenuhnya itu tidak mahu menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan meringankan ibadat lebih-lebih lagi di Baitullah.

“Kekurangan ini tidak akan menyukarkan saya beribadah di Tanah Suci sebab ramai saya tengok di sisi orang berusia yang sakit kaki pun tetap nak beribadah. Jadi apatah lagi saya ini orang muda, malu juga pada mereka yang lebih berusia.

“Ketika di Madinah, selepas solat lima waktu, ada solat jenazah, ada ustaz beritahu ganjaran pahala solat jenazah itu seperti sebesar Bukit Uhud, jadi saya kena tingkatkan lagi amalan dan pahala saya,” katanya ketika ditemui di Bangunan Penginapan Jemaah Haji, Hotel Land Premium, di sini baru-baru ini.

Aminuddin yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, dia tetap berasa reda walaupun dia diuji dengan kecacatan fizikal.

“Saya terima qada dan qadar Allah, saya terima seadanya, sebab kita percaya kita ini bersyahadah atas dua kalimah syahadah.

“Kita akan dipanggil Allah Taala di mana-mana dan bila-bila masa apabila tiba waktunya kita akan dijemput ajal,” katanya yang menjalani pembedahan membuang mata kanan pada usia dua tahun di Hospital Kuala Lumpur.

Lebih manis apabila pemegang kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak berseorangan ke Tanah Suci apabila kakak sulungnya, Atikah, 40, turut menerima panggilan sama, manakala adiknya, Ahmad Muzakkir, 32, sebagai pengiringnya.

Cerita Aminuddin lagi, dia sudah berniat sejak kecil untuk menunaikan haji hasil galakan orang tua lebih-lebih lagi bapanya, Hassan Wahid, 66, yang mula menabung buat mereka tujuh beradik di Tabung Haji (TH).

“Apabila Allah Taala ‘panggil’ saya rasa amat bersyukur, perasaan gembira ini tidak tahu nak kata bagaimana,” katanya.

Sementara itu, Atikah yang gagal menahan perasaan hiba apabila menjadi dhuyufurrahman kali ini menyifatkan dia menjalankan tanggunjawab sebagai kakak sulung kepada adik-adiknya selepas ibu mereka meninggal dunia sembilan tahun lalu.

“Bapa kami selepas dia balik dari haji pada 1995 mula membuat simpanan di TH untuk anak-anak, dia potong duit gaji dia antara RM10 hingga RM20 sebulan ketika itu.

“Masa itu saya ingat bapa menyimpan untuk kami lima beradik, sebelum dia buat untuk dua adik lain pula. Sekarang apabila sudah besar ini kami menyimpan sendiri,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur apabila urusan perjalanannya dari Kuala Terengganu ke Tanah Suci berjalan lancar selain mendapat rakan sebilik yang menganggapnya seperti anak dan adik. – KOSMI! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI